Pengendali Crystal Palace, Sam Allardyce, berang dengan pengadil selepas menyaksikan pasukannya tewas 1-0 kepada Everton hasil jaringan Seamus Coleman pada minit ke-87 perlawanan.

Coleman meledak gol tunggal di Selhurst Park di hujung perlawanan, sekaligus menyebabkan Allardyce masih tercari-cari kemenangan pertamanya selaku pengendali terbaru pasukan itu.

Meskipun Everton mendominasi hampir keseluruhan perlawanan, Allardyce percaya keengganan pengadil, Anthony Taylor, untuk membenarkan Jeffrey Schlupp ditukarkan menjadi punca kekalahan.

"Kami telah bermain dengan baik dan kekalahan ini bukan berpunca daripada pemain saya," ujar Allardyce.

"Kami bermain dengan 10 pemain kerana Schlupp mengalami kecederaan tetapi kami tidak dapat membawa masuk pemain gantian.

"Tambahan pula saya berasakan Coleman berada di kedudukan ofsaid.

"Kami sewajarnya layak mendapat keputusan seri tanpa jaringan tetapi kami kecewa kerana itu tidak berlaku. Pemain saya tidak harus dipersalahkan dalam hal ini.

"Berada dalam kelompok bawahan liga ternyata satu tekanan tetapi pemain sedang berkerja keras untuk menghadirkan keputusan yang positif."

Selepas hanya mengutip satu mata daripada lima perlawanan, Allardyce mengakui Palace memerlukan muka baharu.

"Penting untuk kami membawa masuk beberapa pemain.

"Saya boleh memilih daripada 100 pemain esok tetapi mencari yang benar-benar berkualiti adalah satu isu. Kami tidak boleh panik dalam membeli pemain.

"Jika kami dapat menemui pemain yang lebih baik daripada yang kami miliki ketika ini, kami akan membawa masuk pemain itu."