Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, menegaskan pemainnya gembira dengan penggiliran dalam skuad sambil memberi amaran bahawa tiada siapa dijamin mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Ketibaan Virgil van Dijk dengan perpindahan bernilai £75 juta (RM412 juta) dari Southampton dijangka menambah kekuatan mereka, dengan Joel Matip atau Dejan Lovren yang bermain di bahagian pertahanan mungkin diturunkan daripada pasukan utama.

Klopp, yang menyaksikan skuadnya bangkit mengalahkan Leicester City 2-1 semalam, berkata tiada aduan daripada pemain berhubung penggiliran yang dibuatnya.

"Mereka menyokongnya. Tiada siapa yang memberitahu saya apa-apa yang berbeza," kata jurulatih dari Jerman itu kepada akhbar UK.

"Jika anda mahu menjadi sebahagian daripada kelab bola sepak yang bagus, anda perlu menghormati ada ramai pemain lain yang sangat baik.

"Kami profesional. Tugas saya bukan untuk memastikan mereka gembira. Saya tidak boleh melakukannya setiap hari. Ia bergantung kepada sokongan mereka terhadap keputusan saya.

"Ini semua tentang prestasi. Jika kamu menunjukkan prestasi baik, ia tidak menjamin kamu bermain perlawanan seterusnya," katanya.

Liverpool menduduki tangga keempat dalam Liga Perdana Inggeris tetapi skuad Klopp hanya empat mata di belakang Chelsea dan tiga mata di belakang Manchester United.

Bekas jurulatih Borussia Dortmund itu berkata prestasi semasa pasukannya berada dalam keadaan baik.

"Gini Wijnaldum bermain hebat dalam perlawanan terakhir, juga dengan Alex Oxlade-Chamberlain. Dominic Solanke benar-benar kuat," kata Klopp.

Liverpool akan menentang Burnley dalam aksi seterusnya malam ini.