Pemain kekal puas hati dengan cara saya -- Ranieri

By Staff Writer 6 February 2017
Pemain kekal puas hati dengan cara saya -- Ranieri

Claudio Ranieri menegaskan anak buahnya kekal gembira dengan cara pengurusannya meskipun kelab itu sedang bergelut musim ini.

Penyandang juara Liga Perdana Inggeris itu tewas 3-0 kepada Manchester United semalam, meninggalkan anak buah Ranieri kini satu mata di atas zon penyingkiran.

Sementara aksi Leicester dalam Liga Juara-Juara Eropah musim ini cukup baik, senario berbeza berlaku dalam saingan liga dan Ranieri mencadangkan setiap pemain boleh meluahkan rasa tidak puas hati kepada pengerusi kelab, Vichai Srivaddhanaprabha.

Meskipun tewas di tangan United -- hasil jaringan Henrikh Mkhitaryan, Zlatan Ibrahimovic dan Juan Mata -- Ranieri kekal yakin hubungan di antara pemain kekal utuh.

"Kami tetap bersama," Ranieri memberitahu Sky Sports. "Saya yakin sepenuhnya denngan pemain saya, dan mereka juga yakin dengan saya.

"Seorang wartawan bertanyakan kepada saya dan saya berkata meluahkan rasa tidak puas hati kepada pengerusi merupakan satu-satunya cara jika ada yang tidak gembira dengan cara saya."

Pengendali United, Jose Mourinho, turut menegaskan Ranieri seharusnya dihormati.

"Dia jurulatih terbaik yang diiktiraf FIFA -- dia layak mendapat anugerah itu," Mourinho memberitahu Sky Sports.

"Untuk banyak tahun akan datang, semua orang akan mengingati kejayaan Leicester City musim lalu. Untuk itu, Ranieri perlu dihormati."

About Author

Staff Writer

Comment