Penjaga gol Manchester City, Claudio Bravo, mahu rakan sepasukannya kembali memperkuatkan mentaliti bagi mengharungi baki saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

City terikat 2-2 dengan Tottenham di Stadium Etihad kelmarin meskipun mendahului menerusi Leroy Sane dan Kevin De Bryune.

Spurs, bagaimanapun, bangkit dengan dua gol hasil sumbangan Delle Alli dan Son Heung-Min.

City ketika ini menghuni kedudukan kelima liga, 12 mata di belakang pendahulu, Chelsea.

"Ia bukan perasaan yang baik, melihat kepada apa yang berlaku ketika ini," ujar Bravo.

"Kami memiliki segala-galanya untuk mengutip tiga mata daripada perlawanan itu tetapi akhirnya keputusan tetap sama; kami gagal menambah jaringan meskipun mendapat peluang yang banyak.

"Kami perlu menguatkan mentaliti masing-masing dan berlatih dengan lebih bersungguh-sungguh. Kami perlu mempercayai kemampuan masing-masing."