Setiap pemain Manchester City perlu mempersiapkan diri untuk melalui proses penggiliran yang dilakukan oleh pengurus, Pep Guardiola.

Dalam pertemuan menentang Brighton & Hove Albion kelmarin, Guardiola menurunkan David Silva dan Kevin De Bruyne di bahagian tengah bersama-sama Fernandinho, sekaligus menyaksikan Yaya Toure, Raheem Sterling, Leroy Sane serta Bernardo Silva sekadar berada di bangku simpanan.

Pengurus dari Sepanyol itu percaya tindakan itu akan membantunya untuk mendapatkan gaya permainan yang dimahukan dalam usaha memperbaiki kempen tanpa trofi dalam saingan musim lalu.

“Semua pemain akan beraksi kerana ada banyak perlawanan, jadi semua pemain perlu sentiasa bersedia.

“Jika anda mahu bermain seperti yang saya mahukan, anda memerlukan bakat dan kami jelas memilikinya. Pemain tengah kami sangat bagus.

“Sebagai contoh, Toure tidak bermain kerana Fernandinho boleh bermain, Ilkay Gundogan akan kembali tidak lama lagi dan buat De Bruyne, Silva dan Bernardo, persaingan lebih terbuka kerana Phil Foden juga boleh beraksi di posisi sama.

“Saya kerap melakukan penggiliran pada musim lalu dan ia akan dilakukan lagi dalam saingan kali ini dan jika pemain-pemain tidak dapat menerimanya, ia akan menjadi satu masalah,” kata Guardiola.

Dalam masa sama, pengendali berusia 46 tahun itu memuji aksi Silva yang beraksi cemerlang untuk membantu pasukan menewaskan Brighton 2-0.

“Silva adalah pemain yang mahu bermain, kemahuannya tinggi dan dia tidak gentar.

“Saya suka untuk melihat pemain ketika berada dalam keadaan tidak selesa tetapi kami bukan hanya bergantung kepada Silva, sebaliknya semua pemain memainkan peranan masing-masing."