Pertahanan Cardiff City, Sol Bamba, mendedahkan beberapa rakan sepasukannya menjadi takut untuk menaiki kapal terbang selepas kehilangan pesawat yang dinaiki pemain yang baru ditandatangani, Emiliano Sala.

Nasib pemain termahal kelab itu masih belum diketahui berikutan kehilangan pesawat Piper Malibu yang dinaikinya dalam penerbangan ke Cardiff dari Nantes pada 21 Januari lalu.

Sala dalam perjalanan ke ibu negara Wales itu selepas bertemu bekas rakan sepasukannya di Nantes untuk mengucapkan selamat tinggal sebelum pesawat itu hilang tanpa jejak manakala Polis Guernsey mengumumkan untuk menamatkan pencariannya Khamis lalu.

Penyerang Argentina itu diberi penghormatan sebelum sepak mula yang menyaksikan Arsenal menang 2-1 ke atas Cardiff dalam aksi Liga Perdana di Stadium Emirates, awal pagi tadi.

Menggambarkan situasi yang menyayat hati itu, Bamba memberitahu BBC Sport Wales: "Sangat sukar untuk menerangkan bagaimana perasaan pemain ketika ini.

"Ia adalah satu keadaan yang sangat luar biasa, satu tragedi besar. Kami sebagai pemain, keseluruhan bandar dan kelab amat terkesan dengan insiden itu.

"Kami mendapatkan bantuan kerana kami perlu mengembara dengan pesawat dan beberapa pemain terlintas untuk tidak menaiki pesawat.

"Ia meninggalkan kesan yang mendalam. Pengurus dan kelab mengambil langkah yang baik dengan membawa seseorang untuk bercakap dengan kami sekiranya perlu.

"Dan saya fikir ada segelintir pemain yang perlu melakukannya.

"Oleh itu, ia adalah tindakan yang baik daripada kelab serta pemain dan diharapkan pada minggu-minggu akan datang, kami akan berasa lebih baik."