Arsene Wenger menegaskan bahawa pemain berhijrah ke Arsenal kerana mahu bermain untuk kelab itu, bukan kerana beliau.

Kontrak Wenger bakal tamat pada penghujung musim ini dan masa depannya masih tiada sebarang kepastian selepas tewas enam kali dalam sembilan perlawanan serta dihujani kritikan penyokong di Stadium Emirates.

Masa depan pengendali berusia 67 tahun itu dapat ditentukan menerusi perancangan perpindahan pemain Arsenal -- dengan Mesut Ozil dan Alexis Sanchez dikhabarkan menuju jalan keluar.

Bagaimanapun, Wenger menegaskan beliau bukan individu yang lebih besar daripada kelab.

"Buat masa ini, kami masih belum berada di mod perpindahan," katanya.

"Kami menganalisis kekurangan yang perlu diperkuatkan tetapi kami belum membincangkan mengenai kontrak pemain-pemain yang sedia ada setakat ini.

"Arsenal adalah satu jenama dunia hari ini, dihormati di seluruh dunia, dan nama Arsenal lebih besar daripada saya. Pemain-pemain yang hadir bukan untuk Arsene Wenger, mereka tiba untuk Arsenal."