STOKE CITY 0 MANCHESTER CITY 2

Vincent Kompany berkata skuad Manchester City sedar mereka mungkin mempunyai peluang "sekali dalam seumur hidup" untuk memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris dengan menewaskan musuh setempat, Manchester United, bulan depan.


City meraih kemenangan 2-0 ke atas Stoke City, awal pagi tadi, dengan David Silva menjaringkan kedua-dua gol itu di Stadium bet365.

Keputusan itu membawa mereka menghampiri gelaran Liga Perdana selepas kembali berkelebihan 16 mata ke atas United.

City tidak berada dalam saingan liga sehingga 1 April apabila mereka menghadapi Everton dan kemudian menjadi tuan rumah kepada jiran setempatnya itu pada 8 April, iaitu perlawanan yang boleh menjamin gelaran.

"Saya fikir semua orang yang berjersi biru Manchester sedar ia peluang sekali dalam seumur hidup," kata kapten City itu kepada Sky Sports.

"Tetapi, kami mempunyai satu lagi perlawanan sebelum United, yang akan menjadi sukar, dan kemudian kita akan lihat.

"Ini adalah tahun di mana kami merasai setiap kemenangan membawa kepada satu langkah menuju matlamat.

"Pengurus kata sebelum perlawanan, kita mahu mengekalkan prestasi ini sehingga hujung musim dan diharapkan ke musim depan juga."

Dalam pada itu, Silva menyinar sekali lagi untuk City dengan membantu menjaringkan dua gol menentang Stoke.

Silva mengakui tidak tahu bagaimana dia boleh mengekalkan prestasi baik sekalipun diganggu dengan masalah peribadi -- pemain tengah itu berjuang dengan kelahiran bayi pramatangnya pada Disember lalu.

"Saya tidak tah, tetapi apabila saya bermain bola sepak, saya melupainya, saya lupakan semuanya," katanya. "Tetapi ia baik untuk saya beraksi.

"Saya sedar ia adalah masa yang sangat sukar dalam hidup saya tetapi anak saya berjuang dan saya sangat gembira kerana dia makin baik dan semakin kuat." ujarnya lagi.