SOUTHAMPTON 1 CRYSTAL PALACE 2

Pengurus Southampton, Mauricio Pellegrino, tidak gentar dengan pemecatan sungguhpun tumbang 2-1 kepada Crystal Palace, awal pagi tadi.


Gol Luka Milivojevic pada minit ke-80 menyaksikan Palace menundukkan Southampton, yang jatuh ke tangga ke-17 Liga Perdana Inggeris (EPL).

Southampton gagal meraih sebarang kemenangan dalam sembilan perlawanan, sekaligus berhadapan bahaya zon penyingkiran, begitupun Pellegrino menyatakan tidak berasa takut kehilangan jawatannya.

"Saya berasa takut untuk perkara lain tetapi bukan mengenai bola sepak. Saya tidak berasa takut dalam bola sepak," katanya.

"Saya rasa bertanggungjawab, saya kecewa kerana tewas tapi saya tidak gentar, saya berasa takut terhadap perkara lain.

"Risiko besar dalam tugas kami adalah pelaksanaan. Saya lebih gemar mengambil risiko, saya lebih suka membuat kesilapan daripada tidak melakukan apa-apa, semua orang bertanggungjawab," katanya.

Shane Long meletakkan Southampton di hadapan di Stadium St Mary's, tetapi James McArthur dan Milivojevic memberikan Palace kemenangan penting yang menjulang mereka ke tangga ke-14.

Pengurus Palace, Roy Hodgson, yang mendedahkan Jason Puncheon dan Scott Dann mungkin terlepas aksi sepanjang musim ini akibat kecederaan lutut, gembira dengan kemenangan ke atas Southampton.

"Pada separuh pertama, kami kelihatan seperti sebuah pasukan yang telah menghadapi permainan yang sangat sukar beberapa hari lalu dan keadaan padang pula agak berat kerana hujan lebat dan rumput yang dibiarkan agak lama (tidak dipotong).

"Ia menjejaskan permukaan dan mengganggu kelancaran bola," kata bekas pemain pertahanan kelahiran Argentina itu lagi.

"Saya fikir keadaan padang dan kaki pemain yang berat menyaksikan apa yang kami rancangkan pada separuh pertama tidak menjadi kenyataan, bagaimanapun prestasi babak kedua hampir memenuhi jangkaan kami.

"Kami sangat dominan dan dalam masa sama, kami menyamakan kedudukan dan kami mempunyai kawalan yang mencukupi dalam kawasan bahaya Southampton. Ia bagus untuk muncul pemenang dan meraih tiga mata," ujarnya.