Manuel Pellegrini berkata West Ham tidak akan menggunakan sebarang taktik khusus untuk mengekang pemain Liverpool, Mohamed Salah, dalam Liga Perdana Inggeris di Anfield, esok.

Salah menikmati musim pertama yang hebat bersama skuad The Reds tahun lalu dengan menjaringkan 32 gol Liga Perdana untuk menuntut Kasut Emas dan menjadi ancaman kepada West Ham.

Tetapi Pellegrini tidak percaya ia adalah semudah hanya menangani Salah kerana penyerang itu mempunyai rakan sepasukan berkualiti seperti Roberto Firmino, Sadio Mane dan juga kini Xherdan Shaqiri, yang telah menyertai Liverpool daripada Stoke City.

"Kami tidak mempunyai rancangan khas untuknya kerana ia lebih mudah jika Liverpool hanya ada Mo Salah tetapi mereka tidak," katanya dalam sidang akhbar. "Mereka mempunyai Firmino, Mane, Shaqiri.

"Tetapi Salah adalah pemain yang hebat dan kita semua lihat apa yang dilakukannya musim lalu."

Sama seperti Liverpool, West Ham melabur dalam jendela perpindahan, termasuk menambah Issa Diop, Felipe Anderson dan Andriy Yarmolenko, dan Pellegrini melahirkan kelegaannya kerana memiliki beberapa pilihan.

"Perkara sukar adalah apabila kamu tidak mempunyai pilihan," katanya. "Pemain tahu saya perlu memilih kesebelasan utama tetapi mereka juga tahu saya memerlukan skuad yang kuat dan bukan sekadar satu pasukan untuk berjaya dalam Liga Perdana.

"Kamu memerlukan dua pemain dalam setiap kedudukan dan mereka perlu berlatih keras untuk setiap perlawanan, maka ia akan menentukan keputusan saya bagi memilih kesebelasan utama.

"Ini adalah salah satu perkara yang paling sukar bagi seorang pengurus dan lebih ramai pemain, semakin besar masalahnya. Tetapi lebih sukar apabila kamu tidak mempunyai pilihan.

"Bagi saya, lebih mudah mempunyai pemain yang baik dan ada yang perlu menunggu peluang mereka. 40 hari yang kami usahakan sebelum musim, pemain bekerja dengan baik dengan idea-idea baru kami dan sistem baru kami."