Pengurus West Ham, Manuel Pellegrini, menegaskan bahawa beliau tidak merancang untuk mengikat Yaya Toure secara percuma.

Bekas pemain Ivory Coast berusia 35 tahun itu belum mempunyai kelab sejak meninggalkan Manchester City pada penghujung musim lalu.

Tiga tahun terakhir pemain tengah itu dalam karier lapan musimnya di City adalah di bawah kendalian Pellegrini yang menyaksikan mereka sempat meraih gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dan dua kejayaan Piala Liga Inggeris (EFL).

Tetapi, susulan dibelasah 4-0 oleh Liverpool hujung minggu lalu, pengurus The Hammers itu enggan membawa masuk pemain baru lagi.

"Yaya merupakan pemain yang cukup bagus," kata Pellegrini kepada wartawan. "Dalam kedudukannya pada masa ini, kami sudah mempunyai pemain.

"Dia akan sentiasa menjadi pemain yang bagus kepada mana-mana pasukan tetapi pada masa ini, skuad kami sudah lengkap," katanya.

Pellegrini turut menolak kemungkinan berlakunya pergolakan selepas pertahanan, Edimilson Fernandes, dan penyerang muda, Toni Fernandez, diketepikan awal minggu ini.

Ini bermakna Reece Oxford mungkin akan kekal biarpun dilaporkan menarik minat kelab Bundesliga.

"Apabila kami membina skuad, kami sedar bahawa kami terpaksa membenarkan beberapa pemain untuk keluar juga," kata Pellegrini.

"Kami membeli sembilan pemain baru. Beberapa pemain seperti Fernandes dan Martinez perlukan aksi dan mereka tahu dari awal lagi mereka akan dipinjamkan, jadi inilah skuad yang saya mahukan pada musim ini.

"Saya tidak fikir kami akan mendapatkan pemain lain lagi ketika ini," ujarnya.

Muka baru, Carlos Sanchez dan Lucas Perez, mungkin terlepas perlawanan kedua EPL apabila kecergasan mereka akan terus dipantau menjelang pertembungan dengan Bournemouth, esok.