ARSENAL 3 WEST HAM 1

Manuel Pellegrini gembira menyaksikan persembahan West Ham kendaliannya walaupun terpaksa menerima kekalahan ketiga dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika berdepan Arsenal, semalam.


Marko Arnautovic memberikan gol pendahuluan kepada The Hammers pada minit ke-25 di Stadium Emirates tetapi kecederaan yang dialami penyerang Austria itu menjadi titik perubahan buat skuad kendalian Pellegrini yang berkesudahan 3-1 memihak kepada Arsenal.

Jaringan Danny Welbeck pada masa kecederaan menyaksikan West Ham telah bolos sembilan gol dalam tiga perlawanan tetapi bekas pengendali Manchester City itu tidak percaya keputusan perlawanan adalah cerminan kepada persembahan pasukannya.

"Saya berpuas hati dengan keputusan tetapi saya lebih berpuas hati dengan persembahan pasukan saya," katanya.

"Ia apa yang saya mahukan daripada pemain-pemain, beraksi di stadium ini dan cuba bersaing dengan Arsenal.

"Kami telah berusaha selama 90 minit tetapi tidak bernasib baik sementara jaringan sendiri meletakkan Arsenal di depan. Kami telah cuba untuk mencari jaringan penyamaan.

"Kami akan mula mengutip mata selepas ini. Peningkatan dalam permainan dapat dilihat dalam setiap perlawanan," katanya.

Felipe Anderson memberikan kelebihan buat West Ham selepas berhijrah ke London daripada Lazio, gerakannya bersama Arnautovic ternyata membuatkan Pellegrini gembira.

"Anderson boleh beraksi di beberapa posisi. Dia beraksi baik di belakang penyerang. Tetapi bukan hanya dia, pemain-pemain lain juga telah beraksi dengan cemerlang.

Mengenai keadaan Arnautovic, Pellegrini berkata, "Kami akan melihat minggu ini. Dia mengalami kesakitan di bahagian otot."