Dimitri Payet berkata dia tidak perlu memberi apa-apa kewajaran berhubung perpindahannya dari West Ham ke Marseille.

Pemain antarabangsa Perancis itu melengkapkan perpindahan bernilai £25 juta ke kelab Ligue 1 itu kelmarin, dengan pengerusi bersama West Ham, David Sullivan, menyelar sikap pemain itu sesudah dia dikerah berlatih bersama skuad bawah 23 tahun sambil cuba untuk memaksa perpindahannya.

Penyokong juga menghamburkan rasa marah mereka menerusi media sosial apabila pemain perancang itu mengirim tweet satu foto pesawat peribadi yang dinaikinya untuk ke Perancis bagi memuktamadkan perpindahannya itu.

Sebahagian penyokong yang lain pula dikecewakan oleh keputusan kelab menawarkan untuk menukar replika jersi yang tertulis nama dan nombor Payet asalkan mereka membuat bayaran tambahan £25.

Pemain berusia 29 tahun itu mempertahankan bahawa dia tetap menghormati penyokong setia West Ham sambil bertegas dia tidak perlu memberi apa-apa penjelasan kepada sesiapa saja di Stadium London.

“Saya tidak berasa begitu baik di West Ham; saya perlu kembali kepada asal-usul saya,” katanya dalam satu sidang media memperkenalkannya sebagai pemain Marseille.

“Slaven Bilic mempunyai pendapatnya sendiri tapi saya tidak perlu mewajarkan tindakan saya. Saya ada bercakap dengannya. Saya tidak mahu bercakap hal ini sekarang.

“Saya mengharungi setahun yang gemilang di West Ham. Saya memiliki memori yang hebat berkenaan penyokong.”

Payet berkata dia menolak tawaran kelab-kelab lain untuk kembali ke Stade Velodrome dan berasa teruja dengan prospek satu projek baru di bawah Jacques-Henri Eyraud, yang menjadi presiden kelab berikutan pengambilalihan oleh Frank McCourt.

“Semua ini berlaku ketika Perancis menagih khidmat saya. Saya bercakap dengan pemain-pemain sedia ada di Marseille dan mereka gembira dengan kepulangan saya,” katanya.

Payet juga berkata khabar bahawa rakan sepasukan Perancis, Patrice Evra, telah menandatangani untuk Marseille dari Juventus adalah satu bonus.

“Ia satu kejutan dengan kepulangan Patrice Evra. Saya telah pun membuat keputusan saya sendiri sebelum mendapat tahu mengenai itu.”