The Sun melaporkan Chelsea akan cuba mengumpan tonggak West Ham United, Dimitri Payet, selepas gagal dalam percubaan memancing pemain tengah Bayern Munich, Arturo Vidal.

Media England itu secara ekslusif mendedahkan bahawa Antonio Conte mahu mendapatkan khidmat Payet yang didapati sudah tidak gembira berada di Stadium London.

Payet menjadi pilihan kedua tatkala pengendali Bayern, Carlo Ancelotti, enggan melepaskan Vidal yang pernah berkhidmat di bawah Conte ketika di Juventus.

Bulan lalu, Conte menyatakan hasrat mahu dipertemukan dengan bekas pemainnya itu sehingga Vidal sendiri mengakui berbesar hati dengan hasrat bekas pengendalinya.

Namun, tatkala penyatuan itu tidak akan berlaku, Conte kini memiliki GBP60 juta (RM326 juta) -- hasil penjualan Oscar ke China -- untuk mengejar Payet.

Pengendali kelahiran Itali itu telah pun memanggil semula Nathan Ake bagi mengukuhkan jentera pertahanan.

Payet kini menjadi sasaran relevan tatkala pemain itu membuat kejutan apabila bertekad enggan beraksi bersama West Ham lagi musim ini dan mahu berhijrah.

Pengendali West Ham, Slaven Bilic, mendedahkan semalam bahawa pemain bintang mereka itu enggan menyarung jersi kelab itu lagi musim ini selepas West Ham menolak tawaran GBP20 juta (RM108 juta) daripada bekas majikannya, Marseille.

Payet mahu kembali ke Perancis, namun tawaran dari Chelsea mungkin sukar ditolak.

Bilic turut menegaskan mereka tidak akan melepaskan Payet yang baru sahaja menandatangani pembaharuan kontrak , Februari lalu.