Jose Mourinho membidas aksi Manchester United selepas pasukannya tewas mengejut 1-2 di tangan Huddersfield Town sambil menyifatkan "pasukan yang bermain buruk harus dihukum".

United menguasai sebahagian besar perlawanan sehingga Phil Jones terpaksa digantikan Victor Lindelof akibat kecederaan, membuatkan benteng Red Devils mula goyah.

Aaron Mooy memberikan The Terriers pendahuluan tiga minit kemudian sebelum Laurent Depoitre menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-33 selepas menggunakan kesempatan hasil kesilapan Lindelof yang gagal menanduk kemas bola hantaran jauh Jonas Lossl.

Marcus Rashford merapatkan kedudukan ketika permainan berbaki 12 minit tetapi ia tidak cukup untuk menyelamatkan United daripada tewas buat kali pertama musim ini, membuatkan Mourinho tidak yakin pasukannya mampu memungut walaupun satu mata jika melakukan sesuatu pada saat-saat akhir.

"Saya tidak menjangkakannya (aksi buruk separuh masa pertama)," kata Mourinho kepada Sky Sports.

"Pasukan yang bermain dengan berdisiplin dan berjuang bermati-matian akhirnya menang.

"Mungkin kami lebih menguasai perlawanan dalam babak kedua tetapi walaupun jika kami menunjukkan kemahuan lebih tinggi dan meraih satu mata, kami tetap tidak berhak.

"Mereka (Huddersfield) layak menang selepas menunjukkan kesungguhan lebih tinggi dan berdaya saing, malah lebih agresif membuatkan mereka menang. Apabila pasukan yang lebih baik memenangi perlawanan, tiada apa yang boleh diperkatakan."

"Saya kecewa tetapi realitinya mereka lebih kuat berbanding kami. Saya memilih untuk menerima kekalahan dengan terbuka dan tenang apabila pasukan yang lebih baik meraih kemenangan.

"Tidak adil jika saya hanya menuding jari kepada pemain yang melakukan kesilapan. Separuh masa pertama menunjukkan seluruh pasukan gagal beraksi dengan baik.

"Pasukan yang bermain buruk layak menerima keputusan negatif," tambahnya.