Alan Pardew berkata beliau tidak akan meninggalkan Crystal Palace untuk mengendali England dan mahu membina 'legasi' di Selhurst Park.

Pardew telah dikaitkan untuk menggantikan tempat Sam Allardyce sebagai pengurus The Three Lions.

Bagaimanapun, Pardew yang semakin selesa di Palace, menyatakan bahawa beliau tidak berminat dengan jawatan yang ditawarkan.

"Apabila orang bertanyakan kepada saya mengenai England, jika saya masih bersama Newcastle, saya mungkin berminat dengan jawatan itu," jelas Pardew.

"Tetapi, dengan setiap perancangan saya bersama Palace, ia membuatkan saya berfikir sejenak, 'Mengapa perlu saya tinggalkan semua ini sekarang?'

"Sudah tentu saya mahu memenangi piala dan kami hampir melakukannya musim lalu. Tetapi itu bukan hanya cara untuk mengukur kejayaan.

"Kejayaan dapat dilihat dalam legasi. Mungkin saya mampu melakukannya di sini satu hari nanti dan orang akan berkata, 'Ketika Pardew bersama Palace, ia merupakan satu tempoh yang hebat buat The Eagles.'

"Saya masih ingat Ketua Eksekutif Southampton, Nicola Cortese, mengucapkan terima kasih kepada saya dengan apa yang telah saya lakukan untuk kelab itu. Ia merupakan satu kejayaan buat saya."

Pardew percaya jika beliau dapat mengekalkan semua pemain di Palace -- dengan sedikit penambahan di dalam pasukan -- mereka boleh bercita-cita beraksi di pentas Eropah.

"Perkara paling penting buat Palace adalah untuk terus kekal bersama. Jika saya mampu melakukannya untuk dua tahun, kami pasti akan berpeluang beraksi di pentas Eropah.

"Buat masa ini, kami perlu membina satu bahtera yang menuju ke destinasi yang betul."