Pengurus Crystal Palace, Alan Pardew, berkata England "membuat kesilapan yang besar" kerana gagal mendapatkan kesetiaan Wilfried Zaha.

Zaha mewakili The Three Lions dua kali dalam perlawanan persahabatan dan dia telah membuat keputusan untuk memilih Ivory Coast, negara kelahirannya, kerana tidak dipilih untuk aksi antarabangsa sejak 2013.

Pemain berusia 24 tahun itu menyerlah bersama kelab untuk beberapa minggu ini, dengan Zaha telah menjaringkan gol ketika tewas 5-4 kepada Swansea dan ketika seri 3-3 dengan Hull City minggu lalu.

Awal pagi Khamis ini, Zaha bakal berdepan bekas pasukannya, Manchester United, yang berkunjung ke Selhurst Park.

Pardew telah menghubungi pengurus England, Gareth Southgate, untuk menghalang penyerang berbakat itu daripada menyertai Ivory Coast.

"Dengan prestasi semasanya, England akan membuat satu kesilapan yang besar dengan tidak mendapatkan khidmat Zaha," ujar Pardew.

"Saya dan Southgate telah berhubung untuk membincangkan mengenai Zaha. Saya berpendapat anda perlu lebih proaktif jika mahu mendapatkan khidmat pemain itu."