Crystal Palace mengumumkan ketibaan pemain antarabangsa Jerman, Max Meyer, dengan kontrak tiga tahun.

Meyer, yang telah beraksi sebanyak empat kali untuk negaranya, diikat secara percuma selepas meninggalkan Schalke pada akhir musim lalu.

Merupakan produk akademi Schalke, pemain berumur 22 tahun itu telah membuat 192 penampilan dan melakar 22 gol bersama kelab itu.

"Saya berasa seronok dan gembira untuk berada di sini," kata Meyer. "Saya tidak sabar-sabar lagi untuk memulakan latihan dengan pasukan dan saya harap dapat mengharungi musim yang baik.

"Saya bangga untuk berada di sini dan saya harap dapat mengorak langkah seterusnya dalam kerjaya saya.

"Saya mahu memberikan yang terbaik dan saya fikir kami mampu menempuhi musim yang bagus -- mungkin lebih baik daripada musim lalu.

"Saya bermain di Selhurst Park bersama Schalke pada musim lalu dan suasananya sempurna. Saya teruja untuk mengalami suasana perlawanan Liga Perdana," tambahnya.

Meyer menjadi pemain ketiga yang ditandatangani Palace susulan ketibaan Cheikhou Kouyate dan Vicente Guaita.