CRYSTAL PALACE 5 LEICESTER 0

Pengurus Crystal Palace, Roy Hodgson, berharap anak buahnya dapat mengelakkan penyingkiran daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membelasah Leicester City 5-0 awal pagi tadi, sekali gus mengumpul 38 mata dengan baki dua perlawanan lagi.


Palace menghuni tangga ke-11, enam mata dipisahkan dengan Southampton yang menduduki tangga ke-18 dengan kelebihan satu perlawanan, menjelang baki aksi dengan Stoke City sebelum perhitungan terakhir dengan West Brom.

Kemenangan besar ke atas Leicester merupakan kemenangan ketiga Palace dalam enam perlawanan dan melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada empat perlawanan.

Hodgson, yang mempertaruhkan Ruben Loftus-Cheek sebagai tonggak utamanya, berkata: "Perkara paling penting mengenai hari ini ialah tekanan yang kami hadapi. Kami perlu memastikan ia berubah menjadi mata.

"Kami memastikan bahawa kualiti prestasi membawa kepada jaringan. Itu sangat memuaskan dan ia hebat.

"Dengan 38 mata dan perbezaan gol yang baik, saya fikir kedudukan kami akan baik-baik saja. Ia agak berbahaya sedikit demi sedikit kerana keajaiban berlaku.

"Anda perlu menjadi Billy Beane untuk menyelesaikan semua kemungkinan secara matematik. Saya selalu terfikir, jika kami mengumpul 36 mata dengan perbezaan gol yang baik, kami akan mempunyai peluang yang baik untuk terus kekal.

"Saya amat berbangga dengan usaha kelab ini sejak September lalu, saya mahu berkongsi kegembiraan ini dengan kakitangan dan pemain saya," ujarnya.

Pengurus Leicester, Claude Puel, menganggap kecederaan hamstring yang menimpa Wilfred Ndidi dan kad merah Marc Albrighton sebagai detik-detik penting dalam kekalahan pasukannya.

"Pada kedudukan 2-0, kami hilang keseimbangan dan tidak ada keinginan yang cukup," kata Puel. "Kami cuba mengubahnya secara taktikal pada separuh masa, namun kecederaan Ndidi dan kad merah menyulitkan keadaan. Ia hari yang sukar.

"Kad merah itu adalah keras, ia adalah pergelutan di antara dua pemain, kedua-duanya membuat sentuhan. Ia berlaku dalam tempoh lima minit dengan kecederaan Ndidi menyebabkan kami pincang. Kami perlu bertindak dalam babak kedua dan senario ini mustahil.

"Kami tidak menunjukkan tumpuan atau hasrat yang mencukupi dalam babak pertama, Crystal Palace bermain dengan baik dan meraih keyakinan daripada situasi itu. Kami perlu memastikan sikap kami tepat bagi baki musim ini," tambahnya.