Bintang Arsenal, Mesut Ozil, enggan menolak cadangan yang mengaitkannya kembali ke Real Madrid di tengah-tengah laporan spekulasi masa depannya di Stadium Emirates.

Tonggak Jerman itu meninggalkan Madrid untuk berpindah ke Arsenal pada 2013 dan sejak itu dia memainkan peranan penting di kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Kontraknya di Arsenal akan tamat pada Jun 2018, namun perbincangan lanjutan kontraknya masih belum dapat dimuktamadkan sehingga mencetuskan spekulasi dia bakal berhijrah.

"Kembali ke Madrid? Saya sangat gembira bermain di kelab besar seperti Arsenal yang mempunyai penyokong mengagumkan dalam menunjukkan kasih sayang mereka kepada saya," kata Ozil kepada Marca.

"Saya gembira di London, namun tiada siapa akan tahu apa yang terjadi dalam bola sepak... Kita lihat apa yang akan berlaku.

"Madrid sebuah kelab besar dan saya beraksi di samping beberapa pemain hebat di sana. Peminat Madrid begitu setia dan masih membuatkan saya teruja. Masih ramai antara mereka yang menghantar mesej agar saya kembali.

"Tiada apa yang saya kesali sepanjang saya di Madrid. Saya mengharungi tiga tahun yang menakjubkan di sana."

Peluang kembali ke Santiago Bernabeu akan memastikan pemain berusia 28 tahun itu untuk bekerjasama dengan wiranya, Zinedine Zidane.

"Zidane adalah idola saya. Saya sering menonton aksinya ketika saya masih kecil dan saya mahu menjadi sepertinya," tambah Ozil.

"Kami bermain di posisi yang serupa dan dia menjadi rujukan semasa saya membesar. Saya sangat gementar ketika berpeluang bertemu dengannya buat kali pertama.

"Beliau merupakan jurulatih yang hebat. Beliau memenangi Liga Juara-Juara dalam musim sulung kendaliannya, tiada apa yang lebih hebat daripada itu.

"Saya sangat gembira untuknya kerana beliau seorang individu yang mengagumkan dan saya sentiasa percayakannya sebagai jurulatih."