ARSENAL 3 WEST HAM 0

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, berkata Mesut Ozil sudah kembali ke tahap kecergasan terbaik serta memberi tumpuan sepenuhnya selepas membelasah West Ham 3-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.


Pasukan kendalian Wenger menjejak Stadium Emirates dengan rekod hanya menang tiga kali daripada 10 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan, namun jaringan pada babak kedua daripada pemain antarabangsa Jerman itu, Theo Walcott dan Olivier Giroud memastikan mereka kembali ke landasan kemenangan.

Ozil juga menyumbang bantuan gol -- yang kedua buatnya selaku penjaring dan pencipta bantuan gol pada musim ini -- kali pertama dia melakukannya dalam kemenangan 5-1 Arsenal ke atas lawan yang sama pada Disember lalu.

"Dia sudah kembali secara fizikalnya, bersama fokus," kata Wenger mengenai Ozil dalam sidang media selepas perlawanan.

"Saya kenal dia dengan baik. Dia dan saya berasa terkesan dengan penyingkiran dalam Liga Juara-Juara dan dia mengambil masa sedikit masa untuk pulih dari sudut mental.

"Dalam beberapa minggu ini, dia benar-benar memberi tumpuan dalam sesi latihan dan mempamerkannya dalam permainan.

"Kami hidup dalam dunia yang keterlaluan. Kami sentiasa dipuji mungkin lebih daripada yang sepatutnya ketika segalanya berjalan lancar dan dihukum teruk daripada sewajarnya apabila keadaan menjadi tidak bagus, tetapi itulah dunia kami."

Kemenangan itu memastikan Arsenal melonjak ke tangga kelima dengan jurang empat mata berbanding kelompok empat teratas ekoran kekalahan 2-1 Manchester City kepada Chelsea.

Anak buah Wenger juga mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding pasukan-pasukan di atas mereka.