Ozil sering dijadikan kambing hitam -- Ejen

By Staff Writer 17 February 2017 176
Ozil sering dijadikan kambing hitam -- Ejen

Perancang utama Arsenal, Mesut Ozil, telah dijadikan kambing hitam ekoran kegagalan pasukan itu meraih keputusan positif di Eropah, jelas ejen pemain itu.

Ozil dikecam selepas Arsenal dimalukan Bayern Munich, 5-1 dalam aksi pertama pusingan 16, Liga Juara-Juara Eropah, kelmarin.

Pemain itu turut bergelut ketika aksi di Allianz Arena selepas Arsenal dihujani empat gol dalam babak kedua.

Bagaimanapun, Dr Erkut Sogut, bingkas mempertahankan kliennya itu.

"Kritikan adalah perkara normal, apatah lagi ketika beraksi hambar," Sogut memberitahu BBC Sport.

"Bagaimanapun, Mesut berasakan ada pihak yang menjadikan dirinya sebagai kambing hitam setiap kali pasukannya beraksi hambar."

Selepas tewas kepada Bayern, Erkut berpendapat, Ozil menjadi sasaran kecaman kerana dia membawa tanda harga yang mahal, apatah lagi menerima bayaran tertinggi di Arsenal.

"Pemain yang mendapat bayaran paling mahal selalunya akan menjadi sasaran tetapi tidak adil untuk dia dianaktirikan setiap kali.

"Bola sepak adalah sukan berpasukan dan Arsenal tidak beraksi baik selaku satu pasukan. Terdapat 11 pemain di atas padang tetapi Mesut dijadikan fokus kecaman. Adakah dia punca Arsenal bolos lima gol?

"Ada saja yang menyalahkan Mesut kerana sering hilang dalam perlawanan besar tetapi saya tidak bersetuju.

"Bagaimana dengan kemenangan ke atas Chelsea musim ini dan Manchester United musim lalu? Bagaimana dengan kemenangan Jerman ke atas Itali dan Perancis di Euro 2016?

"Ada yang berkata Mesut kurang melakukan terjahan tetapi itu adalah cara dia bermain."

Kontrak Ozil akan berakhir pada 2018 dan masa depan bekas bintang Real Madrid itu masih belum diputuskan.

About Author

Staff Writer

Comment