Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, percaya Mesut Ozil memerlukan suntikan keyakinan ekoran masih buntu melakar nama selaku penjaring selepas lapan perlawanan setakat ini.

Ozil beraksi ketika membantu kelab itu meraih kemenangan 2-0 ke atas Hull City, kelmarin.

Bagaimanapun, pemain antarabangsa Jerman itu sedang mengalami kemarau gol selepas kali terakhir melakukannya pada 12 Disember lalu ketika berdepan Stoke City.

Berdepan Hull di laman sendiri, Ozil mensia-siakan beberapa peluang untuk melakukan percubaan, sebaliknya gemar membuat hantaran, dengan Wenger percaya pemain itu perlu meledak gol jika mahu mengembalikan keyakinannya.

"Mungkin sudah tiba masa untuk dia menjaringkan gol," ujar Wenger.

"Dia perlu menyuntik kembali keyakinan dalam dirinya.

"Pada saya, dia kurang yakin, terutama dalam menyempurnakan tekniknya. Itu satu masalah kerana dia memiliki kualiti untuk memberi sumbangan yang istimewa.

"Saya akan bercakap dengannya pada Jumaat."

Meskipun Ozil bergelut dengan isu keyakinan, Wenger masih optimis dengan peluang kelab itu menjelang aksi pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah berdepan Bayern Munich, Rabu ini.

"Kami menempuh pengalaman kurang baik berdepan mereka," tambahnya.

"Tetapi, pada saya, ini satu peluang baik untuk mengubat duka lama.

"Kami perlu bertahan dengan lebih baik sebagai satu pasukan."