Penyerang Arsenal, Mesut Ozil, menjangkakan rundingan mengenai kontraknya tidak lama lagi tapi menegaskan dia gembira di kelab Liga Perdana Inggeris itu.

Kontrak Ozil, 28, akan berakhir pada pertengahan 2018 hingga mencetuskan spekulasi dia mungkin meninggalkan Arsenal sejurus musim ini berakhir.

Namun, pemain antarabangsa Jerman itu menolak laporan kononnya pengurus, Arsene Wenger, sudah pun membuat perancangan tanpa khidmatnya.

“Anda fikir Wenger akan memberitahu wartawan (mengenai masa depan saya) sebelum dia memaklumkannya kepada saya? Saya mengenalinya berbeza,” Ozil memberitahu akhbar Jerman, Welt am Sonntag.

"Saya mempunyai kontrak sehingga 2018 di London dan saya berasa sangat selesa di sana. Kami akan berunding dalam masa terdekat dan kemudian membuat keputusan.”

Arsenal telah tergelincir ke tangga keenam dalam Liga Perdana selepas tewas empat daripada lima perlawanan terakhir mereka yang memberi tamparan hebat kepada harapan mereka untuk layak ke Liga Juara-Juara.

Ozil berkata dia mengimpikan untuk memenangi pertandingan itu dan percaya itu boleh berlaku di Arsenal, yang masih menanti untuk menjulang trofi itu buat kali pertama.

"Kenapa tidak (bersama Arsenal)?” katanya.

"Kami sedang mengharungitempoh sukar dan tidak berpuas hati dengan tangga keenam. Saya, bagaimanapun, yakin kami akan dapat menghambat dalam masa terdekat ini.

"Mari kita lihat apa yang berlaku pada masa depan.”

Arsenal berdepan satu perhitungan penting dalam perlawanan pertama mereka selepas tempoh rehat antarabangsa ini, dengan menerima kunjungan pasukan di tangga ketiga, Manchester City, Ahad ini.