Pendekatan Bournemouth yang menerapkan permainan pantas membuatkan pengendali Arsenal, Unai Emery, terpaksa merehatkan Mesut Ozil sewaktu kedua-dua pasukan bertemu yang berakhir dengan kemenangan 2-1 buat The Gunners di Stadium Vitality, semalam.

Pierre-Emerick Aubameyang menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-67 untuk melanjutkan catatan tanpa kalah pelawat kepada 17 perlawanan dalam semua kejohanan.

Perancang Arsenal, Ozil, menyaksikan aksi 90 minit dari bangku simpanan dan tidak turun memanaskan badan ketika rehat babak pertama.

Pemain berusia 30 tahun itu tampak tidak menjadi pilihan tetap Emery musim ini dan mungkin bergelut untuk kembali memenangi tempat setelah Arsenal dilihat berkesan dengan pertukaran tiga pertahanan.

"Kami fikir kami mampu beraksi lebih baik," kata Emery.

"Disebabkan tuntutan dalam perlawanan lebih tinggi, termasuk kepantasan Bournemouth, kami membuat keputusan untuk merehatkan Ozil.

"Semua pemain penting. Kami juga mencuba tiga bek tengah. Ia peluang untuk meningkatkan prestasi."

Aksi liga seterusnya buat Arsenal adalah pertemuan setempat London Utara menentang Tottenham Hotspur di Emirates.

Kemenangan bakal membuatkan The Gunners menyamai 30 mata yang dimiliki Spurs tetapi Emery mahu fokus terlebih dahulu dengan perlawanan Liga Europa menentang wakil Ukraine, Vorskla.

"Kami akan beraksi dalam Liga Europa, Khamis ini, dan ia juga pening," tambah Emery.

"Ketika ini, kami di kedudukan pertama kumpulan dan mahu mengekalkannya selepas enam perlawanan. Kami memikirkannya.

"Aksi Ahad nanti juga penting kerana ia perlawanan besar. Saingan Liga Perdana Inggeris pastinya penting."