Ozil buktikan Wenger silap dengan gol solo menakjubkan

By Shaiful Shamsudin 2 November 2016 116
Ozil buktikan Wenger silap dengan gol solo menakjubkan
LUDOGORETS 2 ARSENAL 3

Arsene Wenger mengakui "pemain hebat membuat keputusan tepat", selepas sempat menyaksikan Mesut Ozil gagal memanfaatkan peluang awal yang dimilikinya, sebelum menjaringkan gol kemenangan Arsenal ke atas Ludogorets dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.


Arsenal ketinggalan dengan dua gol sebelum menamatkan separuh masa pertama dengan 2-2, dan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bergelut untuk menembusi kubu lawan dari Bulgaria itu pada separuh masa kedua di Sofia. 

Bagaimanapun, Ozil mempamerkan keupayaan individu pada minit ke-87, untuk mencipta kemenangan 3-2, sekali gus meletakkan Arsenal di puncak Kumpulan A sambil mengesahkan tempat ke pusingan ke-16 dengan mengatasi Paris Saint-Germain menerusi perbezaan jaringan.

Pemain antarabangsa Jerman itu menyungkit bola melepasi penjaga gol, Milan Borjan, lalu memperdayakan dua pemain pertahanan di dalam kotak penalti sebelum menghantar bola ke dalam gawang. 

"Pemain hebat membuat keputusan yang tepat dalam situasi yang mereka hadapi. Mereka sentiasa mencari jalan penyelesaian yang optimum," kata Wenger. 

"Pada mulanya ia tidak kelihatan seperti penyelesaian yang optimum, namun saya menyedarinya sebaik bola di dalam gawang!

"Anda mungkin mahu dia memanfaatkan peluang awal yang dimiliki, namun pada akhirnya dia mempunyai kemahiran untuk membuktikan tindakannya."

Ludogorets dinafikan gol ketiga pada babak kedua oleh David Ospina, apabila penjaga gol itu mematahkan percubaan satu lawan satu yang diusahakan Wanderson. 

Wenger sekali lagi mempertaruhkan pemain Colombia itu dalam pertandingan Eropah, dengan merehatkan Petr Cech menjelang aksi menentang seteru setempat, Tottenham Hotspur, hujung minggu ini.

"Adalah bagus untuk memiliki dua penjaga gol yang hebat dan perlawanan ini telah membuktikan mengapa kami memerlukan mereka," kata pengurus Arsenal itu kepada UEFA.com. 

Selain menurunkan Ospina, Wenger turut memberi peluang kepada pemain tengah, Aaron Ramsey, yang kembali cergas sejak tampil dalam kekalahan 4-3 kepada Liverpool dalam aksi pembukaan kempen EPL. 

Pemain Wales itu melakukan umpanan tepat kepada Giroud untuk gol penyamaan dan meneruskan aksi sehingga minit ke-75 sebelum digantikan dengan Alex Oxlade-Chamberlain.

"Kami bermula agak goyah, namun Ludogorets adalah sebuah pasukan yang mantap," ujar Ramsey. 

"Adalah bagus kami telah berjaya layak ke peringkat kalah mati dan kami akan berdepan tugas getir di Paris untuk menentukan tempat teratas kumpulan."
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment