Unai Emery mengulangi tuntutannya terhadap Mesut Ozil agar membuat sumbangan yang lebih besar untuk Arsenal selepas permulaan hambar setakat ini.

Emery menafikan perbalahan dengan pemain perancang berkenaan yang bersara daripada tugasan antarabangsa berikutan kegagalan teruk Jerman dalam misi mempertahankan Piala Dunia di Russia dengan mendakwa menjadi mangsa "perkauman dan tidak dihormati" kerana memiliki latar belakang Turki.

Ozil terlepas kemenangan 3-1 ke atas pesaing London, West Ham, dalam aksi Liga Perdana bulan lalu kerana tidak sihat, namun kembali ke pangkuan pasukan dalam kemenangan 3-2 di Cardiff City.

Ketika spekulasi mengenai hubungan keruh Emery dengan Ozil terus berlanjutan, pengurus berbangsa Sepanyol itu sekali lagi menuntut pemain berusia 29 tahun berkenaan agar meningkatkan tahap prestasinya.

Emery, bagaimanapun, bersedia untuk kunjungan ke Newcastle United, dengan berkata perlawanan pertama Arsenal selepas rehat antarabangsa sebagai situasi tepat bagi pemain, termasuk Ozil.

"Bagi saya, ini adalah detik baru untuk kami dan setiap pemain," kata Emery dalam sidang akhbar semalam.

"Sebab itulah kami terus bekerja sebagai persiapan menghadapi setiap perlawanan sambil memastikan pemain yang menyertai kunjungan ke Newcastle nanti dalam keadaan terbaik.

"Begitu juga Mesut, dia menjalani rutin dengan baik. Saya mahu mendesak mereka, saya mahu menuntut lebih banyak lagi dalam perlawanan ini -- Mesut juga sama.

"Saya mahu membantunya untuk melakukan yang terbaik, membuat hantaran penting, berada lebih dekat dengan kotak penalti untuk menjaringkan gol. Saya sedang mengusahakannya untuk dia dapat membantu kami dengan kualitinya.

"Bagaimanapun, dia seperti saya juga. Dia boleh memperbaiki corak permainannya, dia boleh menyumbang lebih banyak lagi.

"Dalam proses ini, kami akan terus bekerja, kami akan membantunya, memberi peluang untuknya bermain dan menjelmakan kualiti sebenarnya buat kami."

Emery turut menyangkal laporan mengenai pertelagahannya dengan Ozil di padang latihan dalam isu menentukan posisi yang digemari pemain itu sambil bekas jurulatih Paris Saint-Germain (PSG) berkenaan memuji kesederhanaan perancang itu.

"Sepanjang kerjayanya, Mesut bermain selaku peranan pemain nombor 10 dan di sayap kanan, mengasak lawan dengan kualitinya," tambah Emery. "Di sini, dia telah bermain kedua-dua peranan tersebut.

"Dia sangat yakin mengenainya menerusi perbualan kami. Saya biasanya memberi pemain kedudukan yang mereka gemari. Mesut berada dalam dua posisi ini."