Perancang Arsenal, Mesut Ozil, berpeluang tipis untuk menyertai pasukan bagi menghadapi Chelsea akibat kecederaan lutut, demikian pengesahan dibuat pengurus, Arsene Wenger.

Pemain antarabangsa Jerman itu mengalami kecederaan ringan dan tidak disenaraikan dalam skuad ketika seri 1-1 menentang West Brom di The Hawthorns, malam tadi.

Wenger melahirkan kebimbangan sekiranya Ozil tidak dapat bermain menentang penyandang juara Liga Perdana Inggeris itu di Stadium Emirates, Khamis ini.

"Ozil cedera dan tidak boleh memberi sumbangan hari ini," katanya kepada Sky Sports sebelum perlawanan di The Hawthorns.

Ditanya adakah Ozil boleh kembali menentang Chelsea, Wenger menjawab: "Dia mempunyai peluang tipis."

Ozil menghimpun empat jaringan dan membuat lima bantuan gol daripada 17 penampilan Liga Perdana musim ini.