SPORTING CP 2 LIVERPOOL 2

Divock Origi sekali lagi membuktikan sentuhan berbisanya ketika Liverpool seri 2-2 dengan Sporting CP yang menyaksikan Bruno Fernandes memperagakan aksi bertenaga dalam perlawanan persahabatan, sebentar tadi.


Gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menamatkan kempen jelajah di Amerika Syarikat (AS) tanpa kemenangan, namun wira Liga Juara-Juara (UCL), Origi, terus memahat namanya sebagai penyumbang gol.

Penyerang Belgium berkenaan menemui penyudah dalam tiga perlawanan pemanas badan apabila membatalkan gol pembukaan Fernandes yang menghukum kesilapan Simon Mignolet.

Jaringan Georginio Wijnaldum kembali memberi kelebihan buat skuad asuhan Jurgen Klopp itu sebelum Fernandes -- yang dikait rapat dengan Manchester United -- menjadi arkitek kepada jaringan Wendel dalam babak kedua aksi di Stadium Yankee itu.

Liverpool, tanpa trio serangan yang terdiri daripada Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino, ketinggalan hanya selepas empat minit wisel pertama ditiupkan angkara kesilapan Mignolet.

Usaha jarak jauh Fernandes tepat ke arah penjaga gol itu, namun dia gagal menangani bola rendah tersebut sehingga membenarkannya bergolek ke dalam gol.

Begitupun, Liverpool kembali menemui rentak dan menyamakan kedudukan pada minit ke-20 melalui Origi.

Hantaran lintang Andy Robertson dari sebelah kiri ditanduk Jordan Henderson sebelum dipatahkan penjaga gol Sporting, Renan Ribeiro, namun Origi pantas menghidu situasi bola muntah itu.

Setelah usaha Wendel terkena tiang, jaringan Wijnaldum menyusul -- dari sebelah kiri -- untuk meletakkan Liverpool di depan selepas pemain tengah itu mengutip hantaran menarik Alex Oxlade-Chamberlain ekoran kesilapan Tiago Ilori.

Mignolet kemudian cemerlang menepis dua rentetan percubaan Luciano sebelum menutup separuh masa pertama.

Sporting menyamakan kedudukan lapan minit selepas rehat setelah Wendel menyambut kemas hantaran Fernandes.

Selepas itu, giliran Virgil van Dijk pula dinafikan tiang pada minit ke-57 dan kedua-dua pasukan gagal mencari gol pemisah.