Divock Origi yakin Liverpool mampu bertahan tanpa kehadiran penyerang, Sadio Mane, untuk beberapa minggu akan datang.

Pemain kebangsaan Senegal itu telah berkembang menjadi tonggak utama The Reds sejak berhijrah dari Southampton tetapi Mane akan meninggalkan kelab buat sementara waktu untuk beraksi dalam kejohanan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

Origi yakin skuad bimbingan Jurgen Klopp masih memiliki pemain-pemain yang berkualiti bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mane.

"Sadio perlu berkhidmat untuk Senegal tetapi kami masih memiliki skuad yang kuat untuk terus memberikan tentangan kepada Chelsea," jelas Origi.

"Mana-mana pemain yang beraksi di bahagian hadapan, saya yakin kami mampu menghasilkan impak dalam setiap perlawanan.

"Saya sangat gembira kerana dapat bermain secara efektif buat pasukan, saya sangat gembira kerana dapat membantu pasukan.

"Salah satu kualiti yang dimiliki pasukan kami adalah pemain-pemain mampu bermain dalam banyak posisi. Ia membuatkan kami sukar diramal."