Pengurus West Ham, Slaven Bilic, mengesahkan Angelo Ogbonna bakal terlepas aksi baki Liga Perdana Inggeris musim ini kerana dia perlu menjalani pembedahan kecederaan lutut.

Ogbonna beraksi 90 minit dalam kemenangan 3-1 ke atas Middlesborough semalam, namun kini dia akan terlepas keseluruhan baki kempen musim ini.

Bekas pertahanan Juventus itu telah mengalami kecederaan berpanjangan sebelum ini tetapi dengan kemasukan Jose Fonte dari Southampton, Bilic mendedahkan pemain itu bakal menjalani pembedahan.

"Saya perlu memuji Angelo Ogbonna, dia masih beraksi musim ini meskipun dihimpit kecederaan berpanjangan," jelas Bilic.

"Dia perlu menjalani pembedahan agar dia tidak lagi mengalami masalah jangka masa panjang. Dia sepatutnya diketepikan untuk beberapa minggu tetapi kami yang meminta dia untuk beraksi.

"Dia kini akan menjalani pembedahan, sekaligus akan diketepikan sehingga hujung musim."

West Ham tidak sempat mendaftarkan Fonte bagi aksi berdepan Boro semalam,dengan Ogbonna sekali lagi terpaksa beraksi meskipun cedera.

Bagaimanapun, ia tidak memberi kesan kepada The Hammers ketika mereka melakar kemenangan kedua berturut-turut dengan ketiadaan perancang utama, Dimitri Payet.

Selepas meledak gol menakjubkan ketika berdepan Crystal Palace minggu lalu, Andy Carroll membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan menerusi tandukan tajam.

Christian Stuani berjaya menyamakan kedudukan sebelum Carroll kembali meletakkan West Ham di depan dengan gol kedua manakala gol ketiga hadir menerusi jaringan Jonathan Calleri.

Bilic, yang teruja dengan aksi anak buahnya, memuji aksi ditampilkan Carroll.

"Minggu yang baik buat kami," Bilic memberitahu BBC Sport.

"Sekali lagi Andy beraksi dengan cukup baik. Dia memberikan segalanya di atas padang. Saya cuma berharap dia akan kekal cergas dan bebas daripada kecederaan."