Michael O'Neill mendedahkan bahawa Sir Alex Ferguson terkejut dengan keputusan bekas pengurus Manchester United, Louis van Gaal, yang melepaskan Jonny Evans pada 2015.

Evans menyertai West Brom pada usia 27 tahun dengan nilai perpindahan sebanyak GBP6 juta (RM32 juta), dengan pencapaian memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menyerlah bersama skuad akademi.

Ketua jurulatih Ireland Utara itu mendedahkan bahawa Ferguson tidak percya dengan keputusan Van Gaal kerana menamatkan karier pemain yang masih memiliki masa yang banyak bersama pasukan.

"Selepas tamat saingan Euro 2016, terdapat persidangan di Perancis yang melibatkan ramai pengendali pasukan dan Ferguson menyatakan perkara tersebut secara terbuka dan tidak mempercayai keputusan Van Gaal yang melepaskan Evans daripada United," katanya.

"Saya berasakan terdapat beberapa faktor dia dijual ke West Brom. Dalam dua tahun terakhir, dia mengalami kecederaan dan United masih memiliki Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic.

"Jadi kekurangan waktu Evans beraksi memaksa Van Gaal melepaskan pemain tersebut bagi mencari pemain lain."

Evans kini telah dikaitkan dengan perpindahan ke Leicester City. Juara EPL musim 2015-16 itu telah menawarkan GBP10 juta (RM54 juta), namun telah ditolak.

"Saya berasakan Evans memiliki kualiti yang hampir sama seperti Gary Cahill di Chelsea dan Chris Smalling untuk United. Evans berada di tengah-tengah.

"Penghijrahannya ke West Brom telah meningkatkan lagi mutu permainannya kerana pengaruhnya di dalam pasukan lebih banyak, malah terpaksa berdepan saingan yang lebih mencabar."