Pengurus Wolves, Nuno Espirito Santo, memenangi anugerah bulanan Pengurus Terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas memastikan pasukannya tidak tewas sepanjang September.

Pendatang baru EPL itu memenangi tiga perlawanan dan seri sekali untuk menghuni tangga ketujuh ketika ini.

Kemenangan ke atas West Ham, Burnley dan Southampton hadir tanpa dibolosi jaringan manakala seri 1-1 dengan Manchester United berjaya meningkatkan tahap keyakinan mereka.

"Keputusan yang diraih adalah cerminan kerja keras yang ditampilkan semua orang di kelab ini," kata Nuno.

"Tiada penghargaan yang bersifat individu dalam bola sepak, segalanya hadir menerusi kerja keras yang dipamerkan pasukan."

Jaringan Terbaik EPL bulan September diberikan kepada Daniel Sturridge selepas dia melepaskan rembatan jarak jauh untuk Liverpool mengikat Chelsea 1-1 di Stamford Bridge.