WOLVES 3 WEST HAM 0

Nuno Espirito Santo lebih berpuas hati dengan kekebalan pintu gol Wolves berbanding kehebatan jentera serangan mereka dalam kemenangan 3-0 ke atas West Ham, awal pagi tadi.


Tandukan Romain Saiss pada minit ke-66 disusuli dua sentuhan berbisa Raul Jimenez di Molineux memastikan mereka meraih kemenangan meyakinkan.

West Ham jarang menghadirkan ancaman buat Wolves untuk meneruskan catatan enam perlawanan tanpa kalah dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sehingga pengurus, Nuno, memuji daya ketahanan pasukannya.

"Tidak dibolosi lebih memberi kesan kepada saya," katanya.

"Ini merupakan salah satu perkara yang perlu diperbaiki dan perlu terus ditingkatkan tetapi saya gembira kerana kami tidak melepaskan sebarang gol ketika berdepan sebuah pasukan yang sangat baik."

Wolves hanya dikecewakan oleh ketangkasan Lukasz Fabianski yang bertindak cemerlang mematahkan percubaan Saiss dan Nuno tertarik dengan cara pasukannya terus mencipta peluang sambil memuji prestasi keseluruhan Jimenez.

"Saya fikir kami beraksi hebat," katanya. "Kami bermain bagus dalam separuh pertama dan mempunyai deretan peluang, namun tidak menjaringkan gol.

"Kami mengawal tempo permainan, mencipta pergerakan yang baik tetapi sentiasa berdepan bahaya serangan balas kerana mereka mempunyai pemain yang bagus, oleh itu ia memerlukan keseimbangan.

Mengenai Jimenez, dia berkata: "Ya, antara perkara yang dilakukannya selain menyumbat gol, membuat hantaran yang bagus, turun bertahan, memberi tekanan dan aksinya sangat baik."