Pemain yang baru menyertai Chelsea, Ross Barkley, dijangka melakukan penampilan pertama buat The Blues minggu depan apabila menentang Norwich City bagi aksi ulangan pusingan ketiga Piala FA.

Dia yang melengkapkan perpindahan dari Everton ke Stamford Bridge minggu lalu, sedang menjalani proses pemulihan daripada kecederaan paha yang dialami sejak awal musim, namun pengurus Chelsea, Antonio Conte, yakin pemain tengah England itu menghampiri penampilan pertamanya.

"Barkley bekerja keras dan saya rasa dalam aksi seterusnya menentang Norwich, dia mungkin beraksi," kata Conte.

"Saya harap dia dapat bermain. Walaupun belum bersedia sepenuhnya, dia boleh mula membantu kami untuk keseluruhan musim," tambahnya.

Dalam masa sama, Conte juga menjelaskan perkembangan tentang Baba Rahman selepas Schalke 04 mengesahkan kini sedang menjalankan proses rundingan untuk mendapatkan pertahanan itu menerusi pinjaman.

"Baba sedang menjalani proses pemulihan dan dia masih belum bersedia untuk menjalani sebarang latihan penuh.

"Saya rasa Schalke boleh menjadi pilihan buatnya untuk menjalani proses itu bersama mereka," ujarnya.

Chelsea bakal turun menentang Leicester City malam ini dan Conte mengakui skuad kendalian Claude Puel itu tidak boleh dipandang mudah.

"Saya rasa Leicester adalah pasukan yang bagus dan berada dalam prestasi hebat. Pastinya mereka bakal memberikan masalah kepada kami."