Kapten West Ham, Mark Noble, berkata aksi memalukan pasukannya tidak boleh menjadi lebih teruk susulan tewas 3-0 kepada Southampton dalam saingan Liga Perdana Inggeris, lewat malam tadi.

Gol daripada Charlie Austin, Dusan Tadic dan James Ward-Prowse menghadiahkan kekalahan kelima selepas enam perlawanan buat anak buah Slaven Bilic itu, sekali gus menjadikan musim ini sebagai permulaan terburuk kelab itu sejak berpindah ke stadium baharu.

The Hammers kini menduduki tempat ke-18 dengan tiga mata dan telah bolos sebanyak 14 kali dalam tempoh empat perlawanan, termasuk tewas mengejut kepada kelab Romania, Astra Giurgiu, dalam saingan Liga Europa bulan lalu.

Noble mengakui pasukannya gagal mencapai prestasi sebenar dan mereka bernasib baik tidak tewas dengan keputusan lebih besar pada Ahad.

"Pada awalnya, kami bermain dengan baik dan selepas itu, segala-galanya mula bertukar menjadi mimpi ngeri -- kami bolos dan secara jujurnya kami gagal untuk kembali dalam permainan," katanya kepada Sky Sport.

"Secara jujurnya, saya berasakan kami patut bolos sebanyak enam kali.

"Adrian (penjaga gol) memastikan perkara itu tidak berlaku, namun saya rasa prestasi kami tidak mungkin akan menjadi lebih teruk daripada ini.

"Segala-galanya berpunca daripada kegagalan kami merencanakan kemenangan pada awal musim, terutama dalam aksi Liga Europa. Kami meraih kemenangan ke atas Bournemouth, namun selepas itu segala-galanya tidak menjadi.

"Bolos 11 kali dalam tempoh tiga perlawanan sangat memalukan. Saya rasa jika kami mengekalkan fokus malam ini, kami masih mampu mengejar."

Noble percaya setiap pemain perlu meningkatkan kesungguhan mereka jika mahu memperbetulkan keadaan.

"Saya sudah berdepan senario ini sebelum ini, kami perlu bekerja lebih keras dan tidak menyalahkan satu sama lain.

"Musim ini baharu sahaja bermula, kami masih mempunyai masa untuk memperbetulkan keadaan."