Tatkala Liverpool terlepas peluang mendapatkan khidmat Julian Draxler, Chelsea menjadi mangsa kedua apabila gagal mendapatkan pertahanan Hoffenheim, Niklas Sule, yang memilih untuk berhijrah ke Bayern Munich.

Bek tengah itu telah menjadi sasaran pengendali Chelsea, Antonio Conte, sebaik jendela perpindahan Januari dibuka dan telah pun mempersiapkan bidaan mencecah GBP30 juta (RM165 juta).

Chelsea dan Sule gagal menoktahkan persetujuan hujung musim lalu, namun The Blues bertekad membawanya ke Stamford Bridge pada Januari.

Bagaimanapun, akhbar Bild melaporkan Bayern telah berjaya memenangi perlumbaan untuk mendapatkan tandatangan pemain itu dengan bidaan telah pun dipersetujui Hoffenheim.

Jika laporan itu benar, secara langsung ia akan memberi bayangan bahawa karier Medhi Benatia -- ketika ini dipinjamkan ke Juventus -- di Allianz Arena akan berakhir.

Dalam perkembangan lain, Liverpool terlepas peluang mendapatkan khidmat Draxler yang telah bersetuju untuk berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG).

Senario itu turut mencetuskan rasa berang pengendali, Jurgen Klopp, yang membidas pemain ekoran tamakkan wang berbanding memiliki karier gemilang bersama The Reds.