Nike taja Chelsea selama 15 tahun dengan nilai RM4.6b

By Matthew Scott 13 October 2016
 Nike taja Chelsea selama 15 tahun dengan nilai RM4.6b
Chelsea telah menandatangani kontrak pakaian bernilai paling tinggi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL) yang akan menyaksikan mereka menjana pendapatan sebanyak GBP900 juta (RM4.6 bilion) dalam tempoh 15 tahun. 

Pasukan yang berpangkalan di Stamford Bridge itu mengumumkan mereka telah bersetuju dengan perjanjian komersial terbesar dalam sejarah kelab itu, dengan jenama pakaian sukan tersohor dari Amerika Syarikat (AS), Nike.

Ini bermakna Chelsea bertindak membatalkan perjanjian dengan jenama Jerman, Adidas, enam tahun lebih awal. 

Laporan mengaitkan perjanjian itu mengatasi jumlah perjanjian bernilai GBP750 juta yang dimeterai Manchester United dengan Adidas pada 2014.

Angka besar itu, bagaimanapun, tidak penting apabila dibandingkan dengan gergasi La Liga, Real Madrid dan Barcelona, yang memungut EUR140 juta hingga EUR155 juta daripada Adidas dan Nike setiap tahun. 

Pengarah Chelsea, Marina Granovskaia, berkata, "Ini sangat mengujakan dan perjanjian penting buat kelab. 

"Seperti Chelsea, Nike dikenali di serata dunia kerana kecemerlangan dan inovasi. Kami berharap untuk bekerja bersama-sama untuk menjayakannya.

"Kami percaya Nike akan menyokong kami dalam pasaran baru selain membantu kami mengekalkan tempat dalam kelab elit dunia bola sepak."

Penjanaan pendapatan itu mampu membantu ketua jurulatih, Antonio Conte, yang dilaporkan telah meminta agar rombakan besar dibuat oleh pemilik kelab, Roman Abramovich. 

Conte tidak berpuas hati dengan benteng pertahanan yang diwarisinya di Chelsea dengan Leonardo Bonucci dilaporkan menjadi sasaran utama mereka pada jendela perpindahan yang lalu.

Ekoran kegagalan mendapatkan pertahanan Itali itu, mereka memilih melakukan perpindahan mengejut dengan memancing David Luiz. 

Selepas tujuh perlawanan, Chelsea kini menghuni tangga ketujuh EPL dengan menamatkan badi kekalahan tiga kali berturut-turut dengan membenam Hull City sebelum aksi perlawanan antarabangsa. 

About Author

Matthew Scott

Comment