Watford melengkapkan perpindahan penyerang AC Milan, M'Baye Niang, secara pinjaman sehingga akhir musim ini dengan pilihan membuat perpindahan kekal.

Pemain berusia 22 tahun itu tampil sebanyak 18 kali bersama Milan dalam kancah Serie A musim ini, namun dengan hanya tiga gol, kelab itu memilih untuk membenarkannya memulakan karier dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Niang pernah dipinjamkan ke Montpellier dan Genoa sepanjang mewakili Milan.

Kehadiran Niang itu antara jalan penyelesaian buat bekas jurulatih Inter Milan dan Napoli, Walter Mazzari, dalam mencari penyelesaian ketumpulan jentera serangannya.

Watford kini menghuni tangga ke-14 dengan mengumpul 24 mata. Mereka dipisahkan lapan mata dari zon penyingkiran selepas gagal merakamkan sebarang kemenangan dalam tujuh aksi terakhir liga.

Pemain Perancis itu menyusul selepas ketibaan Mauro Zarate dari Fiorentina menerusi perjanjian selama dua setengah tahun.