Federico Fernandez akhirnya kembali beraksi di bawah bimbingan Rafael Benitez selepas menyempurnakan perpindahan bernilai GBP6 juta (RM31 juta) daripada Swansea City ke Newcastle United.

Benitez, yang merupakan ketua jurulatih The Magpies, dilaporkan menyasarkan untuk membawa masuk pemain pertahanan susulan kecederaan lutut yang dialami Florian Lejeune dan pencariannya itu berakhir dengan kontrak selama dua tahun buat Fernandez.

Pemain berusia 29 tahun itu mengharungi tiga tahun terakhirnya ketika bersama Napoli di bawah kendalian Benitez sebelum menyertai Swansea pada Ogos 2014.

Dia melakukan 128 penampilan untuk Swansea tetapi gagal mengelakkan pasukannya daripada tersingkir ke Liga Kejuaraan, musim lalu.

Fernandez menyertai bekas rakan sepasukan, Ki Sung-yueng, yang turut meninggalkan Stadium Liberty untuk ke St James Park setelah tamat musim 2017/18.

Saya amat mengenali Fernandez ketika di Napoli dan tidak sukar untuk membawanya ke sini.

"Dia pemain berpengalaman, sangat profesional dan akan menambah saingan di bahagian benteng," kata Benitez.

Fernandez telah melakukan 32 penampilan buat skuad kebangsaan Argentina dan kali terakhir melakukannya pada 2014, termasuk membarisi skuad yang mara ke final Piala Dunia pada tahun tersebut.