LEICESTER CITY 0 NEWCASTLE UNITED 1

Rafael Benitez memuji potensi besar yang dimiliki Newcastle United selepas pasukan itu meraih kemenangan 1-0 ke atas Leicester City untuk The Magpies kini berkelebihan 10 mata daripada zon penyingkiran.


Gol tandukan Ayoze Perez dalam babak pertama -- yang ketujuh dalam saingan liga musim ini -- sudah cukup untuk skuad kendalian Benitez itu mengungguli pertemuan di Stadium King Power, awal pagi tadi.

Newcastle melonjak ke tangga ke-13 dan berkemungkinan besar akan kekal dalam Liga Perdana Inggeris musim depan.

Bagaimanapun, masa depan Benitez dengan kelab itu masih kabur dengan pengendali kelahiran Sepanyol itu kerap menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap pendekatan kelab itu yang tidak mahu melabur.

Kontrak Benitez akan tamat hujung musim ini dan dia membandingkan perbincangan kontroversinya dengan pemilik kelab, Mike Ahsley, dengan rundingan Brexit.

Namun, bekas pengendali Chelsea dan Real Madrid itu tidak ragu-ragu terhadap potensi Newcastle untuk terus berkembang.

"Saya telah mencuba untuk memenangi kejuaraan di mana-mana sahaja, di negara-negara berbeza," katanya kepada Sky Sports.

"Kami memerlukan pasukan yang mampu bersaing.

"Bandar ini, kelab ini memiliki potensi. Ia amat besar.

"Saya tidak berharap untuk berbelanja £200 juta (RM 1.07 bilion), namun perlu melakukan perkara yang betul.

"Anda boleh melakukan segala-gala yang betul melalui pendekatan taktikal, namun pasukan lain memiliki pemain yang mampu memberikan perbezaan.

"Anda memerlukan £30 juta (RM161 juta) untuk membeli pemain Leicester," katanya.

Leicester melengkapkan 6,498 hantaran dalam perlawanan itu, namun penjaga gol Newcastle, Martin Dubravka, tidak banyak diuji sepanjang perlawanan.

Pengurus Leicester, Brendan Rodgers, mengakui pasukannya perlu lebih bercita-cita terhadap bola berbanding penguasaan permainan.

"Amat sukar untuk menembusi pasukan seperti itu dan masih terdapat ruang yang kami perlu perbaiki," katanya selepas rekod empat kemenangan berturut-turut The Foxes tamat.

"Tidak banyak dapat dilakukan dalam perlawanan ini, hantaran terakhir kami juga tidak cukup baik, namun kami sudah memberikan segala-galanya.

"Kami tidak dapat menembusi pertahanan mereka.

"Kami akan mempelajari sesuatu, sebab itulah saya berada di sini.

"Dalam perlawanan seperti itu, anda memerlukan kesabaran dan berdisiplin dalam taktikal.

"Pemain telah memberikan aksi kelas pertama sejak saya tiba di sini, namun apabila anda tidak meneruskannya, keputusan seperti ini akan berlaku.

"Kelajuan hantaran kami boleh diperbaiki.

"Kami membenarkan mereka berasa selesa terlalu awal.

"Kami perlu lebih pantas.

"Kami telah mengubah perkara itu sebelum ini, namun ia terjadi lagi.

"Ia bagus untuk memberikan pengajaran buat kami pada masa akan datang," katanya.