Bekas kapten Manchester United, Gary Neville, melabelkan Marouane Fellaini sebagai pemain yang "bodoh" disebabkan kesilapannya di hujung perlawanan menghadiahkan Everton jaringan penyamaan pada Ahad.

Fellaini dibawa masuk lima minit sebelum tamat perlawanan dengan United berada di depan hasil jaringan Zlatan Ibrahimovic sebelum pemain kebangsaan Belgium itu mengasari Idrissa Gueye di dalam kotak penalti, sekaligus membenarkan Leighton Baines menyempurnakan sepakan penalti.

Neviile, yang bercakap di Sky Sports, enggan mengkritik Mourinho kerana membawa masuk Fellaini, sebaliknya menyalahkan bekas pemain Everton itu.

"Dia dibawa masuk bagi mengekang hantaran lambung Everton. Tetapi tiada sebab untuk dia membuat tindakan bodoh seperti itu.

"Tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan oleh pemain berpengalaman sepertinya. Kamu tidak boleh menyalahkan pihak pengurusan."

Sementara itu, bekas rakan sepasukan Fellaini di Everton, Leon Osman, tidak terkejut dengan tindakan Fellaini.

"Dia sememangnya pemain seperti itu. Ketika di dalam latihan juga, dia gemar melakukan kekasaran dengan memijak kaki atau membuat bentesan.

"Ketika dia bermain bersama kami, kami sentiasa cuba memastikan dia tidak berada di dalam kotak penalti."