Samir Nasri akan meninggalkan Manchester City meskipun beraksi mantap dalam aksi pra-musim, menurut pengurus, Pep Guardiola.

Nasri menghabiskan musim lalu dipinjamkan ke Sevilla, namun masih tersenarai dalam skuad City ke Jelajah Amerika Syarikat di mana dia mempamerkan aksi mantap dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC).

Pemain berusia 30 tahun itu menjadi pemain gantian dalam kemenangan 3-0 ke atas Tottenham Hotspur semalam, namun Guardiola berkata dia masih menuju pintu keluar sebelum kempen Liga Perdana Inggeris bermula.

"Kami mahu dia kekal ketika aksi pra-musim yang lalu, namun dia membuat keputusan untuk berhijrah ke Sevilla," kata Guardiola.

"Dia tahu senario semasa, kami memiliki ramai pemain tengah.

"Seperti Mangala, itu adalah keputusan mereka sendiri. Kami menjaga mereka ketika mereka berada di sini bersama kami. Saya hanya mahu bekerja dengan pemain yang mahu berada bersama kami.

"Dia memiliki kemampuan untuk mengawal bola dalam ruang sempit. Bola sentiasa selamat di kakinya. Pemain lain juga berpuas hati dengan tingkah lakunya."

Guardiola turut menjangkakan penyerang berusia 20 tahun, Kelechi Iheanacho, untuk berhijrah ke Leicester City.

"Saya rasa Kelechi akan berhijrah, mungkin ke Leicester. Tetapi saya enggan memberi komen lebih. Jika ia tidak berlaku, dia tetap akan menyertai kami," tambah Guardioala.

City berada dalam kelas tersendiri berbanding Tottenham di Nashville, dengan John Stones, Raheem Sterling dan Brahim Diaz masing-masing mencatat nama selaku penjaring dalam kemenangan 3-0.

"Kami tidak pernah mendominasi permainan seperti hari ini," kata Guardiola. "Musim lalu, kami menguasai perlawanan dengan baik, namun bukan untuk tempoh 90 minit.

"Spurs pasukan no.2 terbaik musim lalu. Tottenham bermain dengan cukup baik, walaupun Chelsea muncul juara tetapi saya gemar melihat corak permainan mereka."