Nasri dedah larangan Guardiola adakan hubungan intim selepas tengah malam

By Joe Wright 14 November 2016
Nasri dedah larangan Guardiola adakan hubungan intim selepas tengah malam
Samir Nasri mendakwa ramuan rahsia Pep Guardiola dalam menghasilkan aksi terbaik pemainnya adalah dengan melarang mereka daripada melakukan seks selepas tengah malam. 

Nasri meninggalkan Manchester City untuk menyertai Sevilla secara pinjaman pada Ogos lalu berikutan hanya berkesempatan tampil dalam 15 minit perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di bawah kendalian pengurus baru di Stadium Etihad itu. 

Sekalipun bekas bintang Arsenal tersebut sekadar menghadapi masa yang singkat di bawah asuhan bekas bos Bayern Munich dan Barcelona itu, namun arahan paling jelas yang dikenakan terhadap pemain itu sukar dilupakan. 

"Hubungan intim mestilah dilakukan sebelum tengah malam biarpun anda mendapat cuti pada keesokan harinya," kata Nasri kepada L'Equipe du Soir ketika disoal mengenai rahsia Guardiola dalam mendapatkan hasil maksimum daripada pemainnya. 

"Langkah itu agar anda mendapat tidur malam yang berkualiti."

Nasri mendakwa Lionel Messi dan Robert Lewandowski adalah antara pemain yang beroleh faedah terhadap larangan ketat Guardiola itu. 

"Beliau memberitahu kami, inilah caranya dia mendapatkan hasil terbaik daripada Messi dan Lewandowski, selain untuk membantu mereka mengelak kecederaan otot secara maksimum."

Berat badan Nasri, 29, dianggap berlebihan oleh Guardiola selepas dia melaporkan diri untuk kempen pra musim yang menjurus kepada diet ketat yang diterapkan pengurus itu. 

"Beliau mengambil berat mengenai banyak perkara di bahagian dapur," tambah Nasri. 

Pemain tengah itu turut menekankan betapa Guardiola sangat memperincikan corak latihannya walaupun menafikan dakwaan bahawa bekas pemain Barca itu bersikap pilih kasih dalam soal ketegasan. 

"Dengan Guardiola, anda sudah tahu bagaimana corak permainan yang perlu ditonjolkan sejak dari hari pertama lagi. Bagaimana untuk menguasai bola dan bagaimana untuk merampas bola. 

"Pada keesokkan harinya, anda akan diberikan rakaman video mengenai apa yang perlu anda lakukan.

"Beliau tidak membuli, namun beliau akan memberikan segalanya supaya anda terus maju agar anda tahu untuk menempatkan diri dalam posisi yang tepat dan bagaimana untuk bermain. 

"Beliau sangat cerewet."

Nasri menjadi sandaran utama Sevilla yang kini dibimbing oleh Jorge Sampaoli. Mereka akan menghadapi Deportivo La Coruna dalam cabaran LaLiga berikutnya. 
 

About Author

Joe Wright

Comment

Read Next

Semmy tekad hukum Malaysia di Shah Alam

By 14 November 2016. 5.09 AM