Liverpool memulakan kempen pra-musim dengan kemenangan 6-0 ke atas jiran Merseyside, Tranmere Rovers.

Penjaring gol dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL), Divock Origi, antara yang mencetak nama sebagai penjaring manakala pemain muda England, Rhian Brewster, meraih jaringan berganda.

James Milner menjadi pemain berpengaruh di bahagian tengah di samping Alex Oxlade-Chamberlain dan Adam Lallana.

Brewster membekalkan hantaran kepada Nathaniel Clyne -- kembali daripada pinjaman di Bournemouth -- yang melepaskan sepakan ke penjuru atas kanan gawang untuk gol pertama perlawanan pada minit keenam.

Harry Wilson kemudian menyambut hantaran silang Milner sebelum membenarkan gerakan itu disudahkan Brewster ,disusuli penyerang muda itu mengutip bola muntah tendangan Milner untuk menewaskan penjaga gol Tranmere, Scott Davies, buat kali kedua.

Jones menokok gol selepas bergandingan dengan Ben Woodburn pada minit ke-53 sebelum sentuhan pertama Origi membantunya mengatasi Davies dengan mudah.

Gol jarak dekat Bobby Duncan menyempurnakan kemenangan di Prenton Park itu sebelum perlawanan itu dicemari insiden pencerobohan penyokong ke dalam padang sebaik wisel penamat ditiupkan.

Seteru Tranmere dalam kancah Liga Satu, Accrington Stanley, mengalami nasib berbeza apabila menang 2-1 ke atas salah sebuah gergasi Eropah, Marseille, dalam perlawanan persahabatan.

Pemain Perancis, Florian Thauvin, menyumbat satu gol untuk pasukan kendalian Andre Villas-Boas itu yang ketinggalan menerusi tandukan Sean McConville dan penalti Offrande Zanzala dalam separuh masa pertama.