Maurizio Sarri berasakan "mustahil" buat Willian meninggalkan Chelsea bulan ini selepas laporan mencadangkan Barcelona mahu mendapatkan pemain itu.

Pemain kebangsaan Brazil, Willian, telah dikaitkan bakal berhijrah ke Nou Camp, namun bidaan yang dilakukan Barcelona ditolak The Blues.

Barca menandatangani Malcom dari Bordeaux bagi menggantikan Willian, namun pemain berusia 21 tahun itu sekadar tampil beraksi sebanyak lima kali dalam saingan LaLiga.

The Catalans membayar EURO41 juta (RM192 juta), namun Malcom gagal membuahkan hasil untuk pasukan dan mereka sedia membayar EURO55 juta (RM258 juta) termasuk Malcom bagi mendapatkan Willian tetapi Sarri berkata pemain itu tidak akan meninggalkan Stamford Bridge.

"Willian tidak akan berhijrah, dia adalah seorang yang penting buat pasukan, mustahil jika Chelsea melepaskan khidmatnya bulan ini," kata Sarri.

"Saya tidak memiliki sebarang maklumat mengenai Willian sehingga hari ini. Anda perlu bertanya kepada kelab mengenai sebarang perpindahan pemain."

Mengulas lebih lanjut mengenai keinginannya menyaksikan Willian beraksi di tahap yang lebih tinggi, Sarri mahu pemain sayap itu mengambil inisiatif untuk menjadi ancaman dalam kotak penalti.

"Willian perlu menampilkan permainan yang lebih baik dan perlu lebih kerap menjadi ancaman dalam kotak penalti. Dia memiliki potensi untuk menjaringkan banyak gol," ujarnya.

Alvaro Morata turut dikaitkan dengan perpindahan meninggalkan Chelsea dengan Sevilla berminat mendapatkan khidmatnya secara pinjaman sementara Atletico Madrid mahu menandatangani pemain itu secara tetap.

"Jika Morata meninggalkan Chelsea, kami akan mencari pengganti.

"Buat masa ini, dia masih lagi bersama pasukan dan kami akan berusaha untuk menurunkannya dalam perlawanan akan datang."