Jose Mourinho dan Arsene Wenger masing-masing menjangkakan perpindahan Alexis Sanchez ke Manchester United akan berlaku dalam beberapa hari akan datang.

Bintang Chile itu diketepikan skuad Arsenal dalam kemenangan 4-1 ke atas Crystal Palace lewat malam tadi, dengan penyerang itu dilaporkan sudah mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukannya.

Henrikh Mkhitaryan juga tidak terlibat dalam kemenangan 1-0 United ke atas Burnley, dengan pemain Armenia itu dijangka menyertai Arsenal sejurus selepas penghijrahan Sanchez disahkan.

Mourinho kekal berhati-hati untuk menyatakan bahawa Sanchez kini pemain United tetapi dia yakin Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward, akan memuktamadkan perjanjian bagi bekas pemain Barcelona itu.

"Ia begitu hampir, sangat-sangat hampir," kata bos United ituselepas kemenangan di Turf Moor. "Saya positif, saya tahu orang saya sedang melakukan segala-galanya.

"Pemilik telah memberi lampu hijau, Woodward bekerja keras, semua orang memberikan segala-galanya yang termampu, dan saya fikir mereka akan berjaya."

Wenger juga menjangkakan Sanchez akan meninggalkan pasukan, dengan memberitahu dia mengetepikan pemain berusia 29 tahun itu dalam perancangannya menentang Palace bagi menyelesaikan kontrak walaupun menegaskan bahawa perjanjian membabitkan Mkhitaryan mesti dicapai terlebih dahulu.

"Saya tidak membawanya kerana persoalan mengenainya yang berpindah ke Manchester United. Anda tidak boleh memandu ke utara dan juga bermain bola sepak," kata pengurus Gunners.

"Saya menjangkakan ia akan berlaku tetapi saya tidak boleh mengumumkannya. Dalam tempoh 48 jam akan datang, ia akan diputuskan. Sehingga ia berlaku, kita tidak boleh kata ia berlaku.

"Ia berlaku hanya dengan satu cara, jika (perjanjian) yang lain juga berlaku. Sebab itu ia memerlukan masa lama kerana ia perlu diselaraskan," tambahnya.