Jose Mourinho mahu menandatangani dua muka baru lagi menjelang persiapan Manchester United menghadapi musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL), namun dia enggan mengulas hasrat kelab itu untuk mendapatkan Nemanja Matic.

United membayar GBP75 juta (RM420.3j) untuk mendapatkan Romelu Lukaku dari Everton dan membawa masuk pemain pertahanan Benfica, Victor Lindelof, dengan harga GBP30.8j (RM172.6j) berserta bonus, manakala gagal dalam pemburuan terhadap penyerang Real Madrid, Alvaro Morata, susulan kecederaan yang menimpa Zlatan Ibrahimovic.

Mourinho yang bersedia mendapatkan semula khidmat Ibrahimovic sebaik pemain itu kembali cergas, percaya skuadnya perlukan dua lagi pemain untuk menampung persaingan dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL), terutama ketika dia berdepan dengan krisis kecederaan.

"Saya tidak gemar untuk berada di posisi (Ketua Eksekutif) Ed Woodward, kerana rundingan adalah sangat merumitkan," kata Mourinho kepada pemberita menjelang aksi persahabatan pra-musim dengan LA Galaxy.

"Kalau tidak dapat dua orang, dapat seorang pemain pun boleh membantu kami memiliki lebih banyak pilihan. Kami mempunyai pemain yang perlu berehat beberapa bulan lagi, (Marcos) Rojo, Ashley Young, Luke Shaw dan Zlatan jika dia kekal.

"Saya tidak mahu memetik nama Matic atau mana-mana nama pemain pasukan lain kerana saya berasakan ia adalah tidak wajar."

Penyandang juara EPL, Chelsea, dilaporkan menangguhkan penghijrahan pemain Sebia, Matic, sebelum mereka melengkapkan urusan membawa masuk pemain tengah AS Monaco, Tiemoue Bakayoko, yang dilaporkan hampir dimeterai.