MANCHESTER UNITED 2 HULL CITY 0

Jose Mourinho menuntut suasana yang lebih baik di Old Trafford apabila Manchester United berdepan Liverpool selepas menundukkan Hull City dalam pertemuan pertama separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL), awal pagi tadi.


Gol daripada Juan Mata dan Marouane Fellaini berjaya mengatasi Hull 2-0 untuk meletakkan United selangkah lagi ke aksi final di Wembley.

Ketika tuan rumah di ambang mencipta kemenangan kesembilan berturut-turut di laman sendiri, Mourinho tampil pada permulaan babak kedua dengan memberi isyarat agar sokongan lebih gemuruh diberikan kepada skuadnya.

Old Trafford bakal menanti kunjungan Liverpool pada hujung minggu ini dengan kedua-dua pasukan dipisahkan dengan lima mata dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Mourinho mahu penyokong mempamerkan keghairahan mereka.

"Ya saya berasa kecewa. Mereka (Hull) sangat tersusun secara bertahan seperti yang saya jangkakan dan ia bukan mudah buat kami," kata Mourinho kepada Sky Sports.

"Tapi kami agak bersikap sambil lewa dengan menyukarkan keadaan, sentiasa terlebih satu sentuhan, keputusan teragak-agak, membenarkan mereka menyusun rentak dan ia bukan aksi separuh masa pertama yang bagus.

"Pada babak pertama, pemain harus memperagakan aksi yang lebih baik, saya perlu bertindak dengan baik dan begitu juga dengan peminat.

"Pada babak kedua, aksi kami lebih memberangsangkan. Perlawanan sudah pun berakhir dan sekarang saya memikirkan perlawanan pada Ahad kerana pada Ahad ini saya perlu bertindak dengan lebih baik, pemain perlu beraksi lebih baik dan stadium juga perlu lebih gemuruh."

Hull meletakkan dua pemain tengah, David Meyler dan Tom Huddlestone, di bahagian pertahanan ekoran masalah kecederaan yang melanda skuad itu yang di bawah sentuhan sulung Marco Silva, namun Mourinho tidak mahu mengambil pusing mengenai masalah rakan sejawatannya itu.

"Saya menjangkakan satu perlawanan yang sukar," katanya.

"Saya tidak menjangkakan kemenangan empat atau lima gol, keputusan 1-0 bagi saya sentiasa adalah keputusan yang bagus, namun 2-0 adalah lebih baik.

"Kami belum mara ke Wembley, namun gol kedua mungkin adalah gol penting."