Pengurus Manchester United, Jose Mourinho, menyifatkan dakwaan David De Gea akan dijual kepada Real Madrid sebagai satu perkara yang tidak masuk akal.

Penjaga gol berusia 27 tahun itu terus dikaitkan dengan perpindahan untuk menyertai gergasi LaLiga itu sejak tiga musim lalu dan dia hampir melengkapkan penghijrahannya pada tahun 2015.

Bagaimanapun, Mourinho menjelaskan dia tidak bercadang untuk melepaskan pemain terbaik yang berada di Old Trafford tatkala kontrak De Gea bersama The Red Devils hanya akan tamat tahun depan.

"Adakah anda berasakan bahawa sebuah kelab yang sentiasa cuba membawa masuk pemain terbaik di dunia mahu menjual pemain hebat yang mereka miliki? Ia tidak masuk akal.

"Jika anda mahu mencapai tahap tersebut, anda perlu menarik perhatian pemain-pemain hebat seperti apa yang kami lakukan terhadap Alexis Sanchez, Nemanja Matic, Paul Pogba serta ramai lagi.

"Kami juga tidak melepaskan pemain terbaik dengan mudah," kata Mourinho.

De Gea menjadi watak utama dalam membantu United menduduki tangga kedua liga setakat ini dan dia dijangka mengisi posisi penjaga gol utama menjelang aksi bertemu Newcastle United, malam ini.